|@-@(>-S-C-D-M-<)|@-@|
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

|@-@(>-S-C-D-M-<)|@-@|

Room nya kita bersama
 
IndeksPortalLatest imagesPencarianPendaftaranLogin

 

 KISAH IBU DAN ANAK 2

Go down 
PengirimMessage
Hendree
Admin Forum
Admin Forum
Hendree


Jumlah posting : 38
Join date : 02.04.12
Age : 38
Lokasi : Pekanbaru

KISAH IBU DAN ANAK 2 Empty
PostSubyek: KISAH IBU DAN ANAK 2   KISAH IBU DAN ANAK 2 EmptySat Apr 21, 2012 1:58 am

apa sebenarnya yang kau mahu dalam hidup ini?" terdengar suatu suara halus dalam sanubari bertanyakan persoalan paling asas yang dipersoalkan oleh setiap insan. Persoalan tentang kehidupan. Mana arah tujunya.

"Entah. Nak hidup senang kot?" serta merta sang akal menjawab. Siapa yang taknak senang. Siapa nak hidup susah. Benar pada pengertian si akal yang memahami keperluan hidup senang seorang manusia.

"Apa takrif senang bagi kamu?" suara halus itu mengusul lagi. Memang senang memberi jawapan namun apakah takrif senang yang didambakan itu. Sedetik dua berlalu dalam kesunyian. Akal sedang mencari jawapan kepada pilihan jawapan yang diberikannya tadi.

"Senang aje, boleh makan kenyang, boleh tidur tenang, ada duit banyak, boleh enjoy." jawab akal telus. Keperluan asasi dan lebih lagi untuk memenuhi kemahuan. Pendeknya semua yang boleh dibeli dengan duit. Ada duit semua boleh jadi, bak kata ramai manusia, mungkin juga semua manusia pada amnya.

"Sekarang tak senang?" suara tadi berbisik kembali. Bergema dalam ruang fikiran.

"Sekarang belum senang." perkiraan si akal setelah dinilai kedudukan ekonomi diri dengan mudah memberi kenyataan yang secara kasarnya diri kini belum ditahap senang, jauh dari garis aras penanda kesenangan, malah boleh dikategorikan sebagai berada dalam julat susah atau sengkek.

"Kamu Islam?" suara tadi bertanya kembali namun soalan kali ini beralih dari perbincangan asal.

"Yelah." si akal menjawab serta merta. Tiada keraguan.

"Kamu yakin?" suara mencari kepastian

"Mestilah yakin." akal meyakini jawapan yang diberi.

"Kenapa tak solat?" suara mengusul pantas, sepantas akal menjawab soalan tadi.

"Errr...Kadang-kadang solat jugak." kali ini akal tergagap. Nyata kesahihan jawapan tadi mampu dipersoalkan.

"Senang tak solat?" suara kini memperhalusi persoalan solat yang menunjangi persoalan keIslaman sehinggakan pernah Rasulullah s.a.w. mengkhabarkan bahawa solatlah yang membezakan sama ada seseorang itu Islam ataupun kafir. Tiada keraguan di situ.

"Senang." kali ini akal lebih berhati-hati. Walaupun pada dasarnya pekerjaan solat itu cukup mudah untuk dilaksanakan namun ramai yang menganggapkannya susah dan menyusahkan, lebih-lebih lagi bila ketentuan waktu solat lima kali dalam sehari benar-benar menguji komitmen seseorang dalam mendirikan solat apabila diambil kira komitmen-komitmen lain sepanjang hari.

"Kenapa susah nak jaga solat?" suara seolah menduga si akal untuk mencari sebab kenapa solat yang dikatakan oleh si akal sebagai senang namun tak selalu didirikan.

" Entah. " jawab si akal seolah malas nak layan persoalan yang diajukan oleh sang suara. Masa berlalu. Tiada soalan balas dari si suara. Tiada lagi kedengaran suara. Akal pun membisu seribu bahasa.

---------------------------------

"Bagaimana keadaan anak saya doktor?" ibu Usin menagih jawapan dari Doktor Razif.

"Dia masih belum sedar lagi, beri dia masa, kami dah lakukan semampu mungkin. Hanya masa sahaja yang dapat menentukan sama ada anak puan mampu sedar kembali atau terus koma." Doktor Razif cuba menenangkan Puan Ani.

"Tu la Usin. Mak dah banyak kali pesan. Jangan kawan dengan orang tak baik, kamu degil, kamu lawan cakap mak. Sekarang apa dah jadi. Kenapa kamu degil sangat. " ibu Usin kecewa. Usin yang dulunya remaja sombong kini terkujur kaku atas katil hospital. Nak tepis lalat pun tak mampu.

"Sabarlah Puan. Ini semua ujian dari Dia." nasihat Doktor Razif.

------------------------------

"Kamu tak takut mati?" sang suara bergaung kembali dalam sanubari.

"Mestilah takut!" jawab si akal pasti. Memang persoalan mati menghantui si akal saban masa.

"Apa yang kamu takutkan?" suara mengusul tenang seolah tiada apa yang patut ditakutkan dengan kematian.

"Takut laa...azab kubur, soalan munkar nankir, api neraka...huih, banyaklah!" memang jika ikut akal dia tidak mahu mati kerana dia pasti balasan buruk pasti menanti. Dia tahu siapa dirinya.

"Andainya kamu tahu kamu akan mati, katakanlah esok, apa kamu mahu?" suara bertanya lagi suatu andaian kepada suatu yang pasti, andai tarikh dan masa kematian itu diketahui secara pasti dan ia semakin menghampiri.

"Aku mahu taubat. Aku mahu beribadat. Aku mahu jadi orang yang benar-benar beriman." jelas si akal seolah insaf. Jelas keinsafannya hanya didorongi kepastian bahawa dia akan mati tidak lama lagi, jika tidak, belum tentu.

"Kamu tak mahu senang?" tanya suara.

"Nak senang buat apa lagi kalau dah nak mati. Nak senang dalam kubur la pulak. Tak mahu dah kesenangan dunia." akal tahu kesenangan duniawi tidak lagi memberi sebarang erti, tiada bernilai lagi, tiada dia bernafsu untuk memiliki apa yang diimpikan selama ini.

"Kamu tak mahu kenyang?" soal si suara tenang.

"Hek eleh, kenyang pun nak tahan sampai bila sangat. Kat dalam kubur tak makan dah. Kena makan ada le. Ulat makan, lipan makan, semut makan...huiii!" akal kini menolak keperluan asasi diri kerana dia sedar apa yang diperlukan sangat kini sudah tidak diperlukan lagi, kematian menghilangkan segalanya walau selera untuk menikmati makanan, walau untuk menghilangkan lapar. Akal kini sedar bahawa jiwanya yang sekian lama kebulurkan agama merasai kesan ketiadaan sajian rohani yang difikirkan tidak diperlukan selama ini. Betapa dia selama ini tidak mencari bekalan untuk santapan jiwa, sekadar mengisi tembolok yang akan terburai dalam kubur nanti.

"Kamu tak mahu duit banyak?" si suara seolah mempersenda.

"Duit banyak bukan boleh tolong dalam kubur pun. Kau ingat munkar dan nangkir nak terima rasuah ke? Satu sen pun tak masuk ikut sekali dalam liang lahat tu nanti. Kalau aku tahu maut dah dekat, aku sedekah semua duit yang aku ada ke jalan Allah, moga-moga ada munafaat untuk aku kat sana nanti, kurang-kurang dalam kubur nanti tak gelap, dah bayar bil api siap-siap." kini akal meyakini betapa duit yang selama ini dipuja dan disembah manusia rupanya hanya makhluk yang cukup hina jika tidak disalurkan untuk agama, duit tidak lagi membawa sebarang kebahagian dikubur, tidak mampu membeli kebebasan dari siksanya.

"Kamu tak mahu enjoy?" soalan si suara sekadar menghina.

"Enjoy kepala hotak aku! Dah nak mampus nak enjoy apekemende laginya. Sat lagi malaikat dua orang tu sikit punya enjoy membelasah aku dalam kubur baru padan dengan muka aku. Melambung-lambung kena palu." akal tak teringin lagi nak enjoy macam selalu. Dia tahu erti enjoy yang melalaikan tidak menjanjikan apa-apa selain siksa disana.

"Kamu rasa kamu Islam? Islam tu salah satu maknanya kan ke selamat." suara mempertikaikan keislaman empunya diri mengikut ukuran si akal.

"Entahlah. Kalau lihat pada amalan aku selama ini susah nak kata aku ni boleh selamat bila masuk kubur nanti. Selama ni aku rasa keislaman aku dah cukup selamat sebab aku dilahirkan anak orang Islam, aku tahu mengucap dua kalimah syahadah, aku tahu solat walau jarang buat, aku tahu puasa walau selalu juga mengelat, aku bayar zakat...eh bukan aku...mak bapak aku bayarkan, haji aku tak sempat sebab aku muda lagi...tapi aku rasa kalau aku dah tua pun belum tentu aku nak pergi, baik duit tu aku joli. Itu dulu la, sekarang bila maut dah dekat sangat, aku nak jadi seorang Islam yang sejati, bukan sekadar Islam baka, Islam pada IC, harap nama aje bunyi macam orang Islam. Weiii...tolong aku weiii...aku taknak mati lagi...aku belum sedia untuk mati! Aku belum sempat kenal Islam! Tolong! Tolong! Tolong jangan ambil nyawa aku lagi! Aku janji kalau aku hidup lagi lepas ni aku akan jadi manusia yang beriman, aku nak jadi anak yang soleh." akal menghitung kadar keislaman diri ini yang boleh dikatakan pada tahap membimbangkan.

Sang suara kembali menyepi. Tinggallah si akal seorang diri memikirkan apa yang telah dia lakukan selama ini. Baru sekarang terlintas difikirannya betapa dia telah mensia-siakan umur yang ada. Sangkanya kehidupan ini sama seperti apa yang orang lain sangka, wadah mencari kesenangan, asal kenyang hati lapang, ada duit boleh joli, nak jadi macam orang yang kita nampak lebih senang, kenyang, duit bergantang-gantang.

Sedar-sedar maut menjelang. Baru terlintas dibenak fikiran apa akan jadi pada diri selepas tertimbus tujuh kaki dalam bumi. Baru si akal akur bahawa apa yang tidak masuk akal selama ini sememangnya benar. Nyata benar mati itu janji yang pasti, siksa kubur itu benar, balasan baik dan buruk itu benar, akhirat itu benar, syurga dan neraka itu benar, apa yang tertulis dalam Al Quran itu benar, kata-kata Rasulullah s.a.w. itu benar dan benarlah tiada yang benar sebenar-benarnya melainkan yang Maha Benar, yang benar-benar ada hanya Allah. Yang benar-benar berkuasa ialah Allah.

Benarlah apa yang si akal letakkan dipinggir pemikiran selama ini oleh kerana tidak mampu memikirkan secara logik lantas tiada penjelasan fizikal saintifik dan materialistik bahawa Allah itu Tuhan dan memang benar Dia ada, bukan sekadar kepercayaan semata-mata. Kini akal yakin benar bahawa dia tidak mampu menyelami kebenaran sebenar, benarlah Islam tidak hanya berdiri dengan dasar akal kerana lemahnya akal dibandingkan dengan ilmu Allah yang tiada bertepian.

Akal yang dulunya sombong dan angkuh kerana tidak mahu berpegang kepada apa yang tidak mampu difikirkannya kini sujud dan pasrah mengakui kelemahannya kepada Allah, Zat yang tak mampu dicapai kewujudannya oleh si akal. Si akal mati akal. Tidak berani lagi untuk hidup dek kerana terlalu percaya bahawa hidupnya dia hanya akan memusnahkan dirinya. Tugasnya untuk memikirkan segala sesuatu terhenti disini. Jelas segala sesuatu bukan ditentukan olehnya. Mungkin dulu di alam sedar dirasakan bahawa dialah segalanya, baru kini dia sedar bahawa dia tertipu oleh dirinya sendiri.

---------------------------------

"Mulanya sedut gam, bila dah advance sikit sedut dadah pulak. Inilah padahnya." Harun, bapa saudara Usin datang melawat bersama seorang lagi pakciknya, Rosli.

"Hish! Apa nak jadilah budak-budak sekarang. Ikut kawan le ni. Takde akal sungguh." ujar Rosli geram. Ikutkan hati tak mahu dia menjenguk anak saudaranya yang seorang ini namun apa kata mak ayahnya nanti. Usin memang seorang budak biadab. Ada rupa sikit dah sombong, rasa diri segak tapi akhlak rosak. Buat ikut apa hati hendak.

"Akal tu ada tapi agama tak ada. Kes guna akal la jadi macam ni. Dia ingat benda-benda ni boleh buat suka-suka, nak cuba-cuba, tau ajelah akal budak remaja, semuanya nak dicuba, semuanya nak dirasa. Kalau ada agama tak jadi macam ni. " Harun memperbetulkan kenyataan Rosli. Usin bukan budak bodoh, bukan tak ada akal. Namun kerana kejahilan agama maka akal yang ada disalah guna, digunakan hanya untuk mencari keseronokan bukan untuk mencari Tuhan.

"Budak baya ni memang tak minat bab agama. Diorang cuma nampak dunia. Nak tengok dunia tak sedar siapa dok tengok dia sepanjang masa. Kita mak bapak bolehlah ditipunya. Depan kita elok, belakang kita Allah je yang tahu. Masalahnya diorang tak merasa Allah tu Maha Melihat, Maha Mendengar. Diorang cuma rasa ada diri aje. Diri nak seronok, nak syok, nak layan kepala. Silap layan ni le jadinya. Overdose." Rosli benci betul sikap remaja sekarang yang tak sedar dek untung. Usia muda disia-siakan begitu sahaja semata-mata kerana mencari keseronokan.

"Kalau ikut hati nak aje aku ketuk kepala budak ni. Menyusahkan orang aje kerjanya. Mak dia susah payah membesarkan dia seorang diri, kerja siang malam, ingatkan bila dah besar boleh jaga mak dia balik, sekali jadi macam ni, mak dia jugak kena jaga dia kat hospital. Mayat bernyawa macam ni elok mati aje, hidup pun menyusahkan orang aje." Harun kesiankan adik perempuannya, Ani. Ibu tunggal yang diperlakukan oleh anaknya seperti tunggul.

"Dia ni memang hampeh. Kecik-kecik dah merokok, suruh ke sekolah memonteng. Pergi sekolah bergaduh. Balik rumah nak mentekedarah macam ular sawa, lepas tu membuta macam beruang, bangun aje hilang tah ke mana. Kadang-kadang balik, kadang-kadang tak. Dengan mak dia pun bukan nak bertegur. Kalau buka mulut pun nak mintak duit aje. Dapat duit hilang. Ni kalau sedar, buatnya takde sesiapa, aku ingat nak pelupuh bagi dia pengsan balik. Kalau mampus pun elok jugak." Rosli yang rapat dengan Ani selalu dengar keluhan adik perempuannya itu yang tak putus-putus diuji dengan kerenah anaknya yang dajal teramat ini.

"Sesedap hati kita aje nak belasah anak orang. Busuk-busuk dia pun anak kesayangan maknya. Buruk macam mana anak, mak tak putus kasih sayang. Marah-marah juga, sayang tetap ada. Dah berapa kali dia lawan maknya, sakitkan hati maknya, derhaka sederhakanya, bila balik ke pangkuan maknya, mak dia ampunkan dia, terima dia balik, bela dia balik, lepas tu dia buat perangai balik. Kesian aku tengok mak dia. Kalau aku jadi maknya, dah lama aku sumpah dia jadi batu tiga ketul... buat istinjak." Harun menyampah.

"Dahlah, jom kita balik. Lama-lama kat sini buat naik mazmumah aje. Patutnya kita datang ni doakan orang sakit biar baik cepat, ini tak, doa bagi mampus cepat. Tau kat mak dia makin bertambah sedih." Rosli ajak Harun beredar. Waktu melawat pun dah tamat. Ikutkan hati mereka datang ke hospital hanyalah untuk meredakan keresahan adik mereka tapi kebetulan dia balik ke rumah untuk berehat sebelum kembali menunggu di sisi anaknya dari malam hingga ke pagi. Begitulah rutinnya setiap hari hampir sebulan sudah.

-----------------------------

"Kamu tahu kenapa kamu hidup?" suara datang lagi.

"Entah. Tahu-tahu dah hidup." kata si diri yang tak kenal asal-usul diri.

"Kamu tahu apa erti hidupnya kamu bagi diri kamu?" suara mengusul erti hidup.

"Aku hidup untuk lihat dunia. " ujar si diri main tembak aje. Menyampah dia nak layan persoalan si suara.

"Kamu tahu apa erti dunia ini bagi diri kamu?" makin dalam persoalan si suara menduga si diri.

"Dunia ini? Engkau tanya aku, seorang budak remaja, tentang dunia ni? Apa aku kesah apa erti dunia ini. Dah aku hidup atas dunia, nak buat apa lagi? Nak round dunia la kalau boleh. " jawab si diri angkuh. Sangka diri dia hanya hidup untuk dirinya sendiri. Dirinya adalah dunianya.

"Kamu tahu apa erti kamu tu bagi dunia ni?" sayup-sayup si suara menghembuskan persoalan, bergema dalam ruang pemikiran.

"Yang kamu tanya aku ni buat apa? Tanya la kat si dunia." sang diri mengherdik sang suara. Bosan.

"Kamu tu khalifah kat dunia ni. Khalifah tu wakil. Wakil siapa? Wakil siapa lagi kalau bukan Allah. Allah hidupkan kamu kat dunia ni bukan sia-sia, bukan main-main. Kamu diciptakan untuk mengenal Dia dengan berbekalkan dunia ini. Dunia ni diciptakan untuk kamu, untuk kamu ingat Dia. Untuk kamu kenal Dia melalui kebesaran ciptaanNya. Itulah kamu bagi si dunia." tegas si suara lembut menyatakan hakikat si diri yang tak sedar diri. Diri yang terlupa bahawa dia bukan dijadikan untuk bersuka-ria. Diri ini ada misi, ada visi, ada tujuan dihidupkan.

"Kalau aku ni khalifah, wakil Allah, kenapa aku tak miliki segalanya di dunia ini? Kenapa aku susah? Kenapa aku tak kaya? Kenapa aku tak jadi raja? Kenapa aku tak diberi kuasa?" si diri makin hilang dalam ketololan dirinya sendiri.

"Kamu memang seorang khalifah wakil Allah. Kamu miliki segalanya tapi kamu tak sedar. Kamu nak senang, kamu nak kaya, kamu nak jadi raja, kamu nak kuasa, apa kamu tak sedar yang kamu ada semua itu dalam diri kamu sekarang?" jelas si suara tenang.

"Ah, temberanglah kau!" bentak diri, bengang. Takde satu pun kekayaan dan kekuasaan yang dimaksudkan nampak dalam dirinya.

"Apa yang kamu sangka kamu perlu ada untuk jadi khalifah Allah, semua tu ada pada si Firaun. Tapi dia akhirnya jadi musuh Allah. Dia ingat dia tuhan. Dia nak lawan Allah." suara mengingatkan diri bagaimana semua kehendak si diri mencerminkan kefiraunan diri yang mahu dinobatkan seumpama tuhan, bukan wakil Tuhan.

"Dah tu tadi kau jugak yang kata semuanya ada dalam aku, mana?" diri yang kasar tak terlihat segala kurniaan Allah dalam dirinya sendiri.

"Kamu nak senang, nak kaya atas dunia, nak jadi raja, nak kuasai satu dunia tapi kamu tak ingat ke kamu tu singgah sekejap aje atas dunia yang sementara ni. Esok lusa kamu meninggal dunia, apa yang tinggal bersama kamu? Masa tu ada lagi ke kuasa? Kerajaan? Kekayaan? Kamu ingat kamu boleh menikmati kesenangan ketika tu?" sang suara tahu bahawa diri terhijab dengan duniawi sehingga tidak terlihat kekayaan yang hakiki.

Diri menyepi sesepi-sepinya. Sedar diri jahil tapi masih sombong. Masih nak menang. Angkuh.

"Kenalilah diri kamu tu dulu, siapa kamu sebenarnya, apa tugas kamu, kenapa kamu dihidupkan, baru kamu akan kenal Tuhan kamu yang menjadikan kamu sebagai sebaik-baik makhluk. Jika tidak kamu akan jadi lebih hina dari binatang. Sedarlah wahai diri." nasihat si suara buat si diri.


-----------------------------


"Maaf puan, masa untuk mandikan pesakit." seorang jururawat menghampiri Ani yang termenung di sebelah katil anaknya.

"Misi, boleh saya buatkan? Sekurang-kurangnya dapat saya mandikan dia sebelum dia dimandikan. " Ani berpaling menghadap jururawat itu dengan wajah yang muram dan tidak bersemangat.

"Maksud puan, mandi mayat?" ujar jururawat itu agak kehairanan.

"Yelah...kalau dah jadi mayat tentulah perlu dimandikan. Ni pun walau masih bernyawa tapi dah macam mayat. Nak mandi pun kena orang buatkan." Ani selamba. Tiada apa nak dihairankan.

"Biar saya bantu puan. Kita buat sama-sama. Bukan senang nak balikkan orang yang tak sedar diri ni." si jururawat menawarkan perkhidmatannya.

"Memang dia tak sedar diri pun. Masa boleh berjalan dulu sombong yang amat, cakap kita pun tak nak dengar. Asyik nak menyusahkan orang aje. Sekarang dah tak sedar macam ni pun menyusahkan jugak. Nasib baik anak, kalau tak jangan haraplah." Ani membuka baju anaknya yang terbaring tak bermaya.

"Memang dari dulu ke dia macam ni puan? Maksud saya, perangai dia." tanya si jururawat sambil membantu Ani menanggalkan pakaian Usin.

"Sejak dua menjak ni aje. Sejak dia rasa dah dewasa, dah tak perlu orang tua, dah boleh hidup sendiri. Dulu masa kecil bukan main comel. Rajin, berbudi bahasa, pandai ambil hati orang tua. Itu dulu la. " nada suara Ani jelas menampakkan kekecewaan yang teramat terhadap anaknya yang menjadi penawar hatinya suatu ketika dulu. Kini hanya sekadar racun.

"Saya pun ada anak tapi kecik lagilah. Tak taulah bila besar nanti macam mana pulak jadinya. Doa-doa biar jadi anak solehlah hendaknya. Zaman sekarang, anak-anak remaja mudah lupa diri." sampuk si jururawat menyeimbangkan bicara. Dia faham perasaan seorang ibu kerana dia juga seperti Ani cuma anaknya masih seperti kain putih. Belum tahu apa corak yang akan dipaparkan bila besar nanti.

"InsyaAllah. Siapa kat dunia ni nak anaknya jadi setan. Kalau mak bapak setan pun kalau boleh nak anak-anak jadi baik, taknak anak-anak ikut jadi setan macam diorang. Setannya anak menyusahkan mak bapak, tak sedar mak bapak susah payah membesarkan dia selama ni. Bila dah rasa diri dah besar, dia buang kita, dia sanggah kita, dia perlekehkan kita, tapi bila susah tau pulak balik cari kita. Kalau tau macam ni la perangai dia, biarlah dulu tak mengandung pun tak apa. Mandul lagi baik." kata Ani sekesal-kesalnya.

"Sabarlah puan. Manalah tahu lepas dia sedar dia insaf, jadi sebaik-baik manusia. Allah aje yang tahu." pujuk si jururawat.

"Yelah. Kalau insaf alhamdulillah. Buatnya dia mengisap balik, masyaallah. Biarlah dia mati lagi baik." kata Ani sambil tekun menggosok badan anaknya dengan kain basah. Si jururawat sekadar termangu.


------------------------------


"Maarobbuka..." suara mengalunkan soalan dengan gema yang menyeramkan.

Tiada jawapan. Diri hilang dalam diri.

"Siapa Tuhan kamu..." suara menterjemahkan soalan agar mudah difahami.

Masih tiada jawapan.

"Kalau itu pun kamu tak tahu nak jawab memang kompom dalam kubur nanti kena belasah kaw-kaw punya. First question pun dah fail." ujar si suara bersahaja. Tiada lagi gema menakutkan.

"Allah. Tuhan aku Allah." si diri menjawab tidak sepenuh hati. Dia tahu dia belum mati.

"Itu kata kamu. Kamu ingat malaikat Munkar dan Nangkir tu nak percaya ke dengan jawapan kamu tu?"

"Ya...aku tahu selama ini aku hidup tak bertuhankan Allah. Aku kata aje Allah tu Tuhan tapi aku ikut setan. Aku kata Allah itu Tuhan yang Maha Esa tapi aku sekutukan juga Dia dengan macam-macam perkara yang didorong oleh hawa nafsu. Kalau nak kira tuhan aku banyak. Duit, perempuan, muzik, rokok, dadah, TV, radio, bintang Hollywood, motor, henfon, cakaplah apa sahaja yang remaja suka...semua tu aku perlu untuk hidup, aku sanjung, aku bergantung, aku tak boleh hidup tanpa semua tu. Allah? Aku perlu ke Allah untuk hidup? Aku tak solat tapi aku hidup. Aku tak ingat pun Allah tapi aku ok aje. Memang. Allah tu Tuhan dan tiada Tuhan selain Allah tapi selama ini aku tak perlukan Allah. Puas hati?" si diri mengaku keingkarannya selama ini. Engkar. Kafir dalam bahasa Arab.

"Ai, marah nampak?" ujar si suara menyindir.

"Mau tak marah. Cuba kau bayangkan, selama ini aku sihat, aku ada masa, aku dah belajar kat sekolah tentang agama tapi aku taknak amalkan. Sekarang aku dah keras kejung kat atas katil macam ni baru aku terfikir nak solat, nak sujud pada Allah. Selama ni Allah bagi aku peluang untuk aku beribadat tapi aku buat tak endah. Dengar azan pun aku buat tak kesah, kekadang tu naik menyampah. Allah panggil aku ke masjid tapi aku buat tak layan. Aku buat pekak. Celaka betul aku ni." ujar diri mencela dirinya sendiri.

"Agak-agak kamu la, kalau kamu diberi peluang untuk sihat kembali, rasanya mampu ke kamu berubah jadi insan yang beriman?" tanya si suara inginkan kepastian.

"Entahlah. Bukan sekali dua kesedaran macam ni datang. Dah banyak kali dah. Bila susah aje dia datang, tapi bila hilang susah maka hilanglah sedar. Terus lupa diri balik semula. Tak serik-serik. Tak caya tanya mak aku. Dia dah muak dengan sikap aku yang tak pernah ambil pengajaran dari kesusahan. Barangkali aku ni memang jenis manusia yang dah kena laknat Tuhan, dah banyak sangat aku derhaka kat mak aku, menyusahkan mak aku. Inilah balasannya kot. Bagilah hidayah sebanyak mana pun semuanya tak lekat di hati. Baik mati aje." si diri dah putus asa.

"Dah tahu macam tu kenapa tak insaf? Kenapa tak taubat? Kamu tu untung le ada mak lagi. Ada lagi peluang untuk berbakti. Pernah kamu tanya apa mak kamu nak dari kamu? Kamu dengan mak kamu memang banyak kehendak, nak mak manjakan kamu, nak mak ikut kata kamu, nak mak kamu masak untuk kamu, nak mak kamu kutip dan basuh baju kamu, nak mak kamu bersihkan bilik kamu, nak mak kamu korek telinga kamu, nak mak kamu beri duit kepada kamu...tapi pernah tak kamu terfikir perempuan yang dah bergadai nyawa untuk melahirkan kamu, membanting tulang membesarkan kamu, bersengkang mata menjaga kamu, berdoa siang malam untuk kamu, dia tu bukannya orang gaji kamu, bukan orang suruhan kamu, bukan hamba kamu yang boleh kamu buat sesuka hati kamu. Dia ibu kamu. Syurga kamu. Kalau Allah izinkan manusia sujud pada manusia lain dah tentu Allah suruh kamu sujud pada ibu kamu. Demi Allah tiada apa yang mak kamu hendak kecuali kebaikan untuk diri kamu sendiri. Dia taknak anak dia masuk neraka. Dia sanggup lalui segala neraka yang kamu cipta untuk dia dengan sikap kamu yang durhaka semata-mata kerana kamu tu anak dia. Dia sanggup mati untuk kamu. Kamu ingat tu."

Sunyi bertandang lagi. Tiada suara, tiada kata-kata. Diri dah tiada.

--------------------------------

"Mak"

Wad sunyi sepi. Sesekali terdengar bunyi suara misi mengejutkan pesakit untuk beri makan ubat. Malam-malam macam ni tak banyak tugasan mereka kecuali menunggu di meja pendaftaran.

"Mak"

Ani yang hanya tidur sambil duduk dikerusi membuka matanya. Dalam kesamaran dia mencari punca suara yang memanggil. Mungkin katil sebelah. Diperhatikannya Usin yang terkujur kaku diperbaringannya, ditariknya selimut yang menutupi tubuh anaknya itu agar tak diserang kesejukan. Ditenungnya wajah pucat Usin yang matanya terpejam rapat dengan salur getah membekalkan oksigen bertaut dihidung. Dia terbayang wajah Usin semasa kecil dahulu. Wajah anak comel yang membuat hatinya mekar dengan kasih sayang seorang ibu. Ani terbayang wajah anaknya yang comel dulu, tenang diulit mimpi sehinggakan dia sanggup berjaga hingga berjam-jam lamanya, semata-mata untuk menikmati keindahan kurniaan Allah melalui penciptaan bayi yang cukup comel sebagai anugerah yang tidak ternilai bagi seorang ibu. Kini wajah itu ada di depan matanya tapi pudar segala perasaan indah di hatinya tidak seperti suatu ketika dahulu. Kini yang ada hanya perasaan kesal dan pilu.

"Mak" suara Usin lemah.

"Usin? Usin anak mak! Kau dah sedar nak!" ujar Ani ceria tidak terkata.

Kembali Ke Atas Go down
http://Clearos-indonesia.com
 
KISAH IBU DAN ANAK 2
Kembali Ke Atas 
Halaman 1 dari 1

Permissions in this forum:Anda tidak dapat menjawab topik
|@-@(>-S-C-D-M-<)|@-@| :: Dunia Remaja :: Akses Cinta-
Navigasi: